Berkawan Biarlah Seribu
Di dalam sebuah hutan, tinggallah binatang-binatang yang hidup bermuafakat di antara satu sama lain. Mereka saling tolong menolong dan sentiasa hidup di dalam keadaan yang aman damai.
Pada suatu hari, tupai ingin mengadakan majlis harijadi di rumahnya. Beberapa hari sebelum itu ia telah sibuk melakukan persiapan untuk meraikan ulangtahunnya itu. Kad-kad jemputan juga telah diedarkan kepada seluruh isi hutan. Lagipun si tupai itu sudah rindu untuk berjumpa dengan rakan-rakannya untuk bertukar-tukar pendapat.
Bila tiba harinya, tupai kelihatan sibuk membersihkan halaman rumahnya dan menyusun kerusi meja. Disapunya daun-daun kering yang berselerakan di halaman rumahnya dan dibakar semua sampah sarap yang ada. Setelah puas hati semuanya bersih si tupai berkata di dalam hatinya. "Sekarang semuanya sudah bersih, dan sekarang aku akan menyiapkan hidangan untuk para tetamu pula."
Dengan berhati-hati dibantu oleh keluarganya, tupai mengeluarkan hidangan dan meletakkannya di atas meja. Bermacam-macam jenis kuih telah disediakan. Tanpa disedari oleh tupai di dalam ia sibuk menghidangkan makanan di halaman rumah, ada sepasang mata sedang mengintainya dari atas pokok. Setiap kali tupai membawa makanan dari dapur, setiap kali itulah monyet yang di atas pokok itu gelisah.
Sebenarnya monyet itu memang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka bergaul dan suka pula mencuri. Monyet menunggu peluang sehingga tupai siap menghidang makanan. Apabila saja tupai masuk ke dalam rumahnya, monyet cepat-cepat turun dari pokok tempat persembunyiannya. Kemudian dengan cepatnya dia mencuri makanan yang ada di atas meja dan lari semula di belakang pokok melihat bagaimanakah reaksi tupai seterusnya.
Namun si monyet itu tidak menyedari yang tupai sedang melihatnya dari dalam rumah. "Oh si monyet rupanya yang mencuri makananku. Nanti, tahulah aku bagaimana mengajar ia," kata tupai di dalam hati.
Dengan tidak membuang masa, tupai mengambil alat penyembur dan menyembur makanannya satu persatu. Sambil bersiul-siul tupai, ia melirik pandang ke arah tempat persembunyian monyet.
Monyet terkejut besar. "Apalah agaknya yang disemburkan oleh tupai? Sudah tentu dia menyemburkan racun. Tentunya makanan aku sudah dicampurkan dengan racun. Aku tidak bodoh. Aku tidak mahu mati kerana si tupai," kata monyet tegas.
Monyet terus membuang makanan-makanan yang masih ada di tangannya. "Mujur aku tidak sempat makan. Dengan tergesa-gesa monyet meninggalkan tempat itu.
"Baguslah sekarang monyet telah pergi, tentu ia marah kalau tahu yang aku hanya menyembur air biasa," kata tupai tersenyum puas.
Tupai merasa amat gembira kerana hari ini ia berjaya mengenakan monyet. Sambil tersenyum ia menanti kedatangan para tetamunya.
Tidak lama selepas itu, kelihatan kawan-kawan tupai datang membawa hadiah untuk tupai. Apabila semuanya telah berkumpul, masing-masing sibuk bertanyakan hal si monyet.
Tupai menceritakan segalanya pada kawan-kawannya. Mereka tertawa mendengar cerita si monyet ditipu.
Gajah yang sedang sibuk makan berkata, "biarkan dia tahu bagaimana seksanya hidup tanpa kawan-kawan dan sering ditipu begini."
Tiba-tiba mereka melihat monyet datang dengan wajah yang muram. la terus mendapatkan tupai dan meminta maaf kepada tupai kerana mencuri makanan. Begitu'juga dengan kawan-kawannya yang lain. Monyet berjanji untuk tidak mencuri lagi dan tidak akan mengasingkan diri dari kawan-kawan yang lain.
Semenjak dari itu si monyet menjadi kawan yang paling baik dan sering membuat kawan-kawan yang lain terhibur dengan telatahnya yang suka berjenaka.
No comments:
Post a Comment